Bagi ramai pemilik, anjing bukan sekadar haiwan peliharaan. Mereka ialah sebahagian daripada keluarga yang sangat disayangi, malah separuh jiwa pemiliknya.

Walaupun tidak boleh bercakap bahasa manusia, anjing sering berkomunikasi melalui bahasa badan, perubahan tingkah laku atau tabiat tertentu, salah satunya ialah tabiat menunggang (humping).
Di RX Sciences, kami percaya setiap anjing berhak mendapat penjagaan terbaik dan difahami sepenuhnya oleh pemiliknya.
Memahami sebab anjing suka menunggang ialah sebahagian penting daripada penjagaan itu. Mari kita lihat kemungkinan punca tabiat ini dan cara menanganinya jika ia menjadi terlalu kerap atau mendatangkan masalah.
Apakah Tabiat Menunggang pada Anjing?
Tabiat menunggang, atau mounting, ialah apabila anjing menggerakkan pinggulnya ke depan dan ke belakang pada seseorang, anjing lain, objek atau malah ke udara.
Apabila menunggang haiwan lain, anjing biasanya menyasarkan bahagian belakang badan. Ada juga anjing yang menunggang kaki orang, mainan, kasut atau perabot.
Walaupun tabiat ini boleh terasa janggal atau memalukan, terutamanya jika melibatkan orang, ia sebenarnya agak biasa.
Selalunya, ia tidak berbahaya dan normal. Namun, ia mungkin perlu dikawal jika mula menjejaskan hubungan atau keselesaan anjing anda.
Kenapa Anjing Suka Menunggang?
Menunggang mungkin nampak seperti perlakuan seksual, tetapi selalunya bukan. Ia boleh berlaku secara naluri atau dipelajari, dan normal bagi anjing jantan dan betina. Namun, ia boleh menjadi masalah apabila anjing menunggang orang, mengganggu haiwan peliharaan lain atau melakukannya secara berlebihan.
Berikut ialah 7 sebab anjing suka menunggang:
Hormon
Bagi anjing jantan yang belum dikasi, tabiat menunggang sering dipengaruhi oleh testosteron. Ia biasanya berlaku apabila ada anjing betina yang sedang birahi. Begitu juga, sesetengah anjing betina yang belum dimandulkan mungkin menunggang orang atau objek dalam tempoh ini.
Ramai pemilik menjangkakan tabiat ini berhenti selepas anjing dikasi. Walaupun pengkasian boleh mengurangkannya, bukan semua tabiat menunggang didorong oleh naluri seksual.
Bermain
Anak anjing seawal usia 3 hingga 6 minggu sudah boleh mula menunggang ketika bermain, sama ada jantan atau betina. Tabiat ini boleh berterusan hingga dewasa, terutamanya ketika bermain dengan anjing lain atau orang.
Status Sosial
Dalam sesetengah kes, menunggang boleh menjadi cara anjing menunjukkan dominasi atau status sosial.
Seekor anjing mungkin menunggang anjing lain untuk menentukan hierarki. Namun, ini biasanya disertai isyarat sosial lain dan kurang berlaku antara anjing dengan manusia.
Jika anjing anda kerap menunggang tanpa tanda dominasi lain, kemungkinan besar ada punca lain.
Terlalu Teruja
Anjing juga mungkin menunggang apabila terlalu teruja, contohnya semasa bermain atau menyambut seseorang. Sesetengah anjing meluahkan kegembiraan dengan menunggang apabila berjumpa kawan kegemaran mereka, sama ada anjing atau manusia.
Kebimbangan
Sesetengah anjing menunggang sebagai tingkah laku pengalihan apabila mereka berasa cemas. Ia membantu mereka melepaskan tenaga gemuruh, sama seperti manusia mengetuk-ngetuk kaki atau resah apabila tertekan.
Mahukan Perhatian
Kadangkala anjing belajar bahawa menunggang membuatkan mereka diberi perhatian. Jika anda bertindak balas, walaupun dengan menolaknya, mereka mungkin menganggapnya sebagai interaksi atau permainan. Tanpa sedar, ini boleh menguatkan lagi tabiat tersebut.
Contohnya, anjing mungkin menunggang anda supaya anda mengajaknya bermain. Jika anda bertindak balas secara fizikal (seperti menolaknya), dia mungkin menganggapnya sebagai kemenangan: "Yes, dia perasan aku!"
Masalah Kesihatan
Menurut pakar, anjing yang mempunyai masalah saluran kencing, alahan kulit atau masalah kesihatan lain mungkin menunggang untuk melegakan rasa tidak selesa.
Jika anjing anda menunggang secara berterusan dan tiada sebab di atas yang sesuai, sebaiknya dapatkan nasihat doktor haiwan. Doktor haiwan boleh memastikan tiada punca perubatan yang tersembunyi.
Cara Menghentikan Anjing daripada Menunggang
Oleh sebab puncanya pelbagai, mungkin perlu masa dan kesabaran untuk mencari cara yang paling sesuai untuk anjing anda. Matlamatnya bukan untuk menghukum, tetapi membimbing anjing ke arah tingkah laku yang lebih baik.
Berikut ialah tiga strategi yang mungkin membantu.
Tegur Ketika Ia Berlaku
Masa sangat penting. Cara paling berkesan untuk membetulkan tabiat menunggang ialah menghentikannya ketika itu juga. Sebaik sahaja tabiat itu berhenti, gunakan peneguhan positif untuk menggalakkan perubahan.
Sebaik sahaja anda nampak anjing anda menunggang, panggil namanya dan gunakan arahan yang jelas dan tegas seperti "stop", "lepas" atau "eh eh". Elakkan perkataan biasa seperti "jangan" atau "turun" yang mungkin mengelirukannya. Anda mahu menarik perhatiannya tanpa menakutkannya.
Jika anjing berhenti, beri ganjaran serta-merta berupa pujian, snek atau mainan, apa sahaja yang paling dia suka.
Ini membantunya mengaitkan perbuatan berhenti dengan sesuatu yang menyeronokkan. Jika boleh, alihkan objek atau orang yang ditunggangnya supaya tabiat itu tidak berterusan.
Alihkan Perhatiannya
Jika arahan suara tidak berkesan, cuba alihkan perhatian anjing kepada mainan, permainan atau puzzle. Cari sesuatu yang dia suka dan tawarkannya secara konsisten setiap kali anda perasan tabiat menunggang.
Setiap kali fokusnya beralih daripada menunggang, berikan pujian. Lama-kelamaan, anjing anda akan belajar bahawa bermain atau menggigit mainan membawa hasil yang lebih baik daripada menunggang.
Dapatkan Bantuan Profesional
Sesetengah anjing memerlukan sedikit sokongan tambahan. Jika anjing anda terus menunggang walaupun anda sudah berusaha, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan jurulatih anjing profesional atau pakar tingkah laku haiwan.
Dalam kes yang lebih berterusan, anda mungkin perlu mengawal keadaan dengan mengelakkan persekitaran yang sering mencetuskan tabiat ini, termasuk mengasingkan anjing daripada tetamu atau menjauhkan objek yang sering ditunggangnya.
Kata Akhir
Tabiat menunggang mungkin memalukan, tetapi dalam kebanyakan kes ia sangat normal. Kuncinya ialah memahami punca di sebalik tabiat itu, sama ada hormon, keterujaan atau perkara lain, dan bertindak balas dengan sabar, empati dan konsisten.
Dengan memahami keperluan anjing anda dan menggunakan peneguhan positif, anda boleh membantunya mengawal naluri dengan cara yang sihat.
Selain memerhati tingkah lakunya, menjaga anjing juga bermaksud menjaga kesihatannya. Sokong kesihatan anjing anda dengan suplemen berasaskan sains daripada RX Sciences. Lindungi organnya hari ini untuk hari esok yang lebih sihat.



